Posts tagged ‘Agama’

Jangan Izinkan Aku Jatuh Cinta Andai Masanya Belum Tiba

Ya Allah,
Andai masanya belum tiba,
Jangan izinkan aku untuk jatuh cinta,
Aku memohon agar Kau tunjukkan jalan,
Agar Kau tunjukkan aku tuntutun yang perlu aku lakukan,
Jauhkanlah aku daripada kemaksiatan,
Jauhkanlah aku daripada perkara yang tidak dapat memberi manfaat,
Dan jauhkan aku daripada perkara yang Engkau murkai,
Agar aku dapat menjaga diri.

Ya Allah,
Jika aku jatuh cinta,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut pada-Mu,
Jadikanlah aku yang mencintainya kerana agama yang ada padanya,
Jika dia hilangkan agama yang ada dalam dirinya,
Maka hilanglah cintaku padanya,
Sesungguhnya, cinta yang suci itu tidak buta.

Ya Allah,
Dan jika dia mencintai aku,
Biarkanlah dia mencintai aku kerana agama itu juga,
Asalkan dia tidak lebihkan cinta kepadaku melebihi cinta kepadaMu,
Supaya cinta itu bersemi di lembayung keredhaan-Mu,
Kerna dari situ lahirlah rahmah dan mawaddah dalam rumahtangga.

Ya Allah,
Jika ini bukan masanya,
Jika ini belum saatnya,
Dan jika Kau tahu kami belum bersedia,
Selamatkan kami,
Jarakkan kami,
Pisahkan kami,
Agar kami jauh dari khilaf yang merosak izzah dan iffah,
Agar kami tak mengundang murka-MU,
Agar kami dapat lebih menjaga hati,
Agar hati menjadi yang diredhai ilahi.

Ya Allah,
Andai dia bukan untuk ku,
Andai dia bukan jodohku,
Maka berilah ganti yang lebih baik buatnya,
Berikanlah dia insan yang benar benar terbaik buat kehidupannya,
Insan yang benar-benar mampu memimpinnya ke syurga-Mu,
Dan bantulah aku untuk memperbaiki diriku,
Agar aku kukuh dalam mencari cinta-Mu.

Ameen..

Sumber:

http://nurkembarasufi.blogspot.com

Advertisements

January 17, 2012 at 4:49 am Leave a comment

Mengapa Perlu Bersangka Buruk???

Mengapa Perlu Sangka Buruk ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Hidup kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri terlibat, kunci menanganinya adalah   beristighfar dan taubat. Nabi s.a.w bersabda :-

كُلُّ بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Ertinya : “Setiap anak Adam itu ada kesilapan ( dosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat” (Riwayat At-Tirmidzi, no 2499, 4/659)

Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha hindarinya sedaya upaya. Saya sendiri tidak bebas darinya. Namun atas dasar nasihat menasihati saya tuliskan artikel ini agar kita sama-sama mampu berusaha menjauhinya agar kehidupan kita akan lebih diredhai oleh Allah.

Ia bertepatan dengan apa yang disebut di dalam sebuah hadis

ثلاث لازمات لأمتي : الطيرة ، والحسد ، وسوء الظن ” . فقال رجل : ما يذهبهن يا رسول الله ! ممن هو فيه ؟ قال : ” إذا حسدت فاستغفر الله ، وإذا ظننت فلا تحقق ، وإذا تطيرت فامضه

Ertinya : Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk” lalu seorang lelaki bertanya : “apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?”

Jawab Nabi : Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya” ( At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais)

Terdapat sebuah lagi hadis yang mempunyai erti yang sama dengannya iaitu :-

ثلاثة لا يسلم منهن أحد : الطيرة ، والظن ، والحسد ، فإذا تطيرت فلا ترجع ، وإذا حسدت فلا تبغ ، وإذا ظننت فلا تحقق

Ertinya : Tiga perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri darinya; sial menyial, sangka buruk, hasad dengki; maka apabila kamu berasa ada sial, jangan kamu pulang dan mengendahkannya, bila kamu hasad, jangan melampau (hingga bertindak) , dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya” ( Musannaf Abd Razzak : Ibn Hajar : hadis mursal, Albani : Dhoif)

Al-Qaradawi menerangkan maksud jangan kamu membenarkan sangkaan buruk itu adalah dengan tidak berubahnya sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya

SANGKA BURUK YANG HARUS

Tidak dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi keselamatan diri. Ia juga dinamakan berhati-hati atau ‘hazar’. Mudahnya, seperti pemandu kereta dikehendaki ‘bersangka buruk’ apabila melihat sebuah bas dan teksi di depan mereka akan bersangka buruk ada kemungkinan kenderaan itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil penumpang atau menurunkan penumpang. Ia jelas sangka buruk yang tidak berdosa.

Demikian juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan baru. Biasanya pihak majikan akan membuat survey rambang dengan menghubungi beberapa orang yang yang mengenali calon, bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan kemampuan dan lain-lain informasi berguna berkaitan calon. Saya masih ingat, saya pernah menerima Curriculum Vitae (CV) sewaktu bertugas di institusi kewangan dahulu, CV calon ini cukup menarik sekali.

Namun mengikut prosedur, sebelum pihak kami memanggil interview, saya perlu menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si calon untuk mendapatkan komen beliau, akhirnya kami tidak jadi memanggilnya interview kerana rupanya calon tersebut mempunyai masalah mental. Kami daptkan komen beberapa orang lagi demi memastikan info yang diberi benar serta tidak berniat jahat. Namun info yang sam a diperolehi.

SANGKA BURUK YANG HARAM

Sangka buruk jenis haram dan berdosa ini biasanya didasari oleh perasaan cemburu, hasad, dengki dan berniat ingin menjatuhkan individu yang dijadikan sasarannya.

Sangka buruk jenis ini juga hakikatnya lahir dari jiwa dan minda seseorang yang kotor. Ia adalah refleski dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.

Justeru, dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda kepentingan diri dan muslihat di sebalik. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain sepertinya.

JENIS PERTAMA : KERANA ALIRAN POLITIK

Sangka buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian. Sangka buruk ini juga sangat popular di masa ini terutamanya di zaman isu politik sentiasa hangat.

Memang benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya. Namun tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat membantu dalam sesuatu tindakannya.

Hasilnya, apabila ada saja seorang ahli politik PAS melakukan satu tindakan yang patut dipuji pada zahirnya, akan wujud sebahagian kumpulan dalam UMNO yang mentakwil apa yang tersirat dan tujuan sebenar dari setiap tindakan baik yang dibuat, sehinggalah ia AKAN dilihat jahat dan tidak layak mendapat pujian, penghargaan dan terima kasih.

Demikian juga sebaliknya, apa sahaja tindakan politik yang baik dibuat oleh pemimpin UMNO, akan sentiasa dilihat jahat oleh sebahagian pihak pembangkang. Saya tidak kata semua, namun saya kata ada sebahagian mereka.

Sebagai contoh apabila kerajaan Pak Lah mengumumkan pembayaran Ex-Gratia kepada bekas-bekas hakim yang terlibat dalam kes 20 tahun lepas, maka ada yang tetap tidak mahu menghargai tindakan itu lantas berkata :-

“Mengapa baru sekarang? Nampak sangat ia dibuat dengan agenda tertentu”

Individu dalam kategori ini biasanya akan merasakan diri mereka bijak, sukar diperdaya serta mampu melihat dari dimensi yang luar biasa (kononnya).

Namun jika ada pimpinan mereka atau rakan mereka yang melakukan kesilapan yang terang-terang tersalah dan tidak boleh ditakwil lagi, mereka akan bersangka baik pula demi membela segala tindakan tersebut atas dasar maslahat katanya. Bagus, ia memang satu sifat yang baik, tetapi boleh menjadi buruk jika tidak betul cara kendaliannya.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia seolah-olah menjadikan sangka buruk sebagai satu keperluan politik. Tatkala itu, dosa menjadi mainan diri. Sangka baik pula adakalanya digunakan bukan pada tempat yang sepatutnya sehingga menjadikan diri taksub kepada team mereka.

JENIS KEDUA : KERANA ALIRAN PEMIKIRAN DAN ANUTAN

Kali ini ia didasari oleh aliran pemikiran pula. Manusia tidak boleh lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain.

Sebagai contohnya aliran Salafi, Wahabi, Khalafi, Pondok, Sufi, Syiah Malaysia, Hizb Tahrir, Ahbash, Liberal, Hadari dan lain-lain. Masing-masing kelihatan suka kalau pihak yang lain dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud mereka yang akan sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.

Tatkala itu sangka buruk sentiasa menjadi idaman dan ruh perjuangan masing-masing. Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran yang bertentangan dengan mereka. Akan ditakwilkan sejahatnya.

Sebagai contoh yang saya kira paling nyata adalah apa yang berlaku kepada Mufti Perlis. Tiba-tiba Mufti Perlis semakin berterus terang mengkritik beberapa dasar kerajaan yang kurang tepat sebagai contohnya ISA. Akhirnya, pelbagai sangka buruk timbul antaranya,

  • Kononnya ia bersifat demikian hanya selepas pilihanraya 8 Mac, iaitu setelah dilihat kerajaan lemah dan pakatan rakyat kuat, lalu barulah dia bersuara untuk ‘membodek’ kerajaan pakatan rakyat untuk melantiknya pula.
  • Kononnya beliau berani kerana ingin memenangi hati pemimpin pakatan rakyat kerana tempoh sebagai mufti di Perlis sudah di penghujung.
  • “Mengapa sekarang baru nak kritik, mengapa tidak dari dulu lagi, nampak sangat ada udang di sebalik batu.?!!” Tempelak mereka.

Dan macam-macam lagi.

Saya kerap dengar komen “mengapa baru sekarang!!?” sebagai hujjah untuk membidas segala kebaikan orang lain. Wajarkah komen sebegini?

Saya dan rakan-rakan pembaca juga tentu ada penglaman masing-masing dalam hal ini.

Bila saya sebut masalah hukum di dalam ASB, syubhat dan keraguan aqad dalam MLM, pelaburan haram cepat kaya.. muncul orang marah lalu berkata:-

“Mengapa baru sekarang ustaz sibuk-sibuk, mengapa tak beritahu awal-awal dulu, ni kami dah join lama dan untung ribu-ribu baru nak sibuk kata haram, jangan dengki la ustaz. Mesti sebab ustaz ni ada join skim lain dan sekarang dah rugi kot” Katanya.

Saya menjadi pelik pula. Apa yang perlu dipertikaikan dengan sekarang atau dulu, bukankah kekuatan, hidayah, ilmu dan kemampuan itu baru tiba kini dan bukan dahulu. Justeru apa yang perlu dipertikaikan.?

Bersyukur sahajalah jika ia membawa kebaikan. Sama juga dengan keadaan kesihatan, dulu sihat, sekarang sakit, dulu kanak-kanak sekarang dewasa dan lain-lain. Jadi apakah wajar kita beteriak memarahi virus yang menghinggapi kita lalu berkata

“hei virus, mengapa sekarang mahu kacau, mengapa tidak dulu!!. Lucu juga memikirkannya.

Jawapan mengapa sekarang itu mudah saja, mungkin dahulu belum cukup kajian dan ilmu, sekarang sudah..kerana itu baru bersuara sekarang.

Mungkin dahulu ada gangguan, sekarang sudah berjaya diketepikan lalu kerana itu baru bersuara sekarang.

Dulu, mungkin belum terperasan kesilapan itu, sekarang baru sedar, kerana itu baru tegur.

Justeru, mengapa masih ada juga ingin sangka buruk dalam hal seperti ini?.

JENIS KETIGA : PERTIKAI KEBAIKAN & KEIKHLASAN ORANG LAIN

Jenis yang ketiga adalah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat sudah mendarah dagingnya perangai dan tabiat itu menyebabkan kehidupan seharian akan dipenuhi dengan sangka buruk dosa ini.

Saya masih ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat kaya dahulu (Ketika itu, Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memfatwakan haramnya skim ini). Ada individu menghantar link satu forum kepada saya, forum itu membicarakan artikel saya yang menyebut hukum skim haram.

Tiba-tiba mucul seorang former yang berkata :”puas aku fikir dan cari di web zaharuddin ini, apakah niat sebenar si zaharuddin ini sibuk-sibuk menulis isu ini dan menyusahkan kitorang, apa yang dia hendak sebenarnya?”

“akhirnya aku jumpa, rupanya dia nak jual vcd dia!!, hem tak respeklah aku ust nak jual barang dia ni”

Begitulah lebih kurang ayatnya, demikian dahsyatnya manusia di zaman ini. Otak dan mindanya sentiasa memikirkan kejahatan dan muslihat di sebalik segala jenis kebaikan, baginya mustahil ada orang sanggup bersusah payah tanpa ganjaran dan agenda DUNIA.

Ini bolehlah saya kelaskan sebagai kumpulan orang sangka buruk jenis ketiga yang wujud di dalam masyarakat kita.

Sebagai contoh lain.

Ada yang menghantar sms, email atau melalui system sms 33221 (sistem ini telah ditutup sementara waktu) bertanya sambil bersangka buruk berkenaan orang di sekitarnya:-

a- “Ustaz ada dengar tak slot Dr ..xxxxx pengasas ayam organik di radio ikim. Cara cakapnya macam dia sorang yang halal, dan semua yang tanda halal JAKIM tidak boleh pakai. Apa pandangan ustaz tentang dakwaan Dr ini dan perjuangannya memartabatkan makanan yang betul-betul halal kononnya tu?.. boleh caya ke. Nampak macam nak perkayakan diri sendiri jer”

b- “PPIM ni sebenarnya ustaz bukan nak perjuang isu kepenggunaan Islam, mereka nak jual nama persatuan mereka, lepas ni senang nak dapat budjet”

c- “Ustaz ni dah buat tebiat apa? Dalam banyak-banyak urusan umat yang begitu kritikal, sempat pula dia menulis buku cinta(n)!”, simpul seorang pemerhati jarak jauh. (petikan dari web saifulislam.com)

d- “eleh ustaz-ustaz TV ni, hanya layak mendapat gelaran ‘pelawak’ dari penceramah, asyik buat lawak aja. Depa ni sebenarnya sedang jual agamanya untuk popular di televisyen”

e- “Saya benci dengan ustaz yang tak jelas parti apa ni, bagi saya mereka ni munafiq dan hanya pentingkan perut mereka saja, kerana itu tidak berani berterus terang”

f- “Kecewa dengan ustaz. Mengapa ustaz tak aktif lagi dalam perjuangan jemaah Islam, ustaz dah futur dan tergelincir dari perjuangan dakwah ke?” Tanya seorang bersangka buruk kepada saya melalui ruang komentar.

g- Seorang isteri dinasihatkan oleh seorang penulis artikel bahawa : “jika suami anda tiba-tiba baik, spoting, romantik, ketahuilah sebenarnya ia ada benda jahat yang sedang disorokkan”

Banyak lagi contoh-contoh yang tidak larat saya kumpulkan, ia cuma beberapa contoh betapa budaya sangka buruk berbaur dengki dan hasad begitu meriah dalam masyarakat kita hari ini. Tidak bolehkah kita bersangka baik terlebih dahulu. Semua punyai peranannya, samada seseorang itu ikhlas atau tidak, itu bukan urusan kita untuk bersangka buruuk mereka tidak ikhlas atau punyai agenda lain.

Malah jika mereka memang punyai agenda tetapi agenda yang halal,  maka TIADA salahnya. Selagi mana zahir tindakan  mereka tadi adalah baik SERTA menghasilkan kesan yang baik kepada masyarakat umum. Kita wajar bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu menghentam sambil menambah dosa dan menyubur kebencian di hati.

 Allah swt mengingatkan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa…” [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Imam Fakhruddin Ar-Razi menghuraikan :

الظن ينبغي بعد اجتهاد تام ووثوق بالغ

Ertinya : “Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam” ( Tafsir Ar-Razi, 28/115 )

Justeru, dalam hal mencari keikhlasan seseorang dalam sesuatu teguran dan usaha baikknya, Islam tidak menyuruh kita menyelidik hati seseorang. Hanya hal berkaitan zahir seperti jenayah, kesalahan fizikal dan yang sepertinya sahaja memerlukan penyelidikan yang disebutkan oleh imam Ar-Razi tadi.

Namun begitu, kepada para pendakwah, teruskan usaha anda dengan cara anda yang tersendiri.

Jangan dipedulikan hasad dan sangka buruk manusia lain yang berhati busuk. Malah Nabi s.a.w sendiri juga pernah terkena sangka buruk seorang lelaki sebagaimana dicatatkan dalam hadis sohih berikut :-

قال فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata :

“Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah” ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi),

Baginda menjawab : “Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah.”

Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata

“Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :

Baginda menjawab : “Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat”.

Khalid berkata : “Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata seusatu yangtidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)”

Baginda membalas :-

إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : “Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka” ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )

Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-

 إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر

Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )

KESIMPULANNYA

Akhirnya, jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa. Dahulukan sangka baik di kalangan umat Islam selaras dengan arahan Allah.

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ

Ertinya : Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “”Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. ( An-Nur : 12 )

Banyakkanlah bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat baik hanya kerana agenda akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang sepertinya.

Namun, apa yang menyedihkan mereka yang kerap bersangka buruk kepada kebaikkan ini suka pula bersangka baik kepada penganjur skim-skim cepat kaya yang tumbuh dengan pelbagai nama dan lesen hari ini. Sepatutnya anda perlu bersangka buruk lebih sedikit dengan skim-skim sebegini. Ia dinamakan berhati-hati yang sebenar.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

12 Mei 2008

December 9, 2011 at 1:33 pm Leave a comment

Kuliah Maghrib Ijtimak Tarbawi 2011 : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca semua, kali ini jom pakat dengar kuliah maghrib ijtimak tarbawi 2011 oleh Tuan Guru Nik  Abdul Aziz Nik Mat. Ini khas kepada sesiapa yang tidak kesempatan untuk pergi majlis Ijtimak tersebut.

November 1, 2011 at 11:47 am Leave a comment

Memahami Isu Hukum Hudud

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca semua. Diharapkan anda semua sihat dan sentiasa berada dalam lingkungan rahmat yang Maha Esa iaitu Allah SWT. Kali ini nak diceritakan sedikit sebanyak isu masalah umat islam di Malaysia terutamanya. Isu yang sering dibangkitkan oleh orang Islam di Malaysia ialah berkenaan undang-undang Islam iaitu Hudud.

Malaysia seperti yang kita semua tahu, Undang-undang hudud masih belum lagi dilaksanakan walaupun hukum ini adalah wajib dilaksanakan oleh pemerintah Islam. Negara kita dikatakan negara islam tetapi pelaksanaan hukum islam masih lagi tidak dilaksanakan oleh pemerintah islam. Namun, isu pelaksanaan ini dirungkai oleh pelbagai pihak terutamanya oleh golongan Ilmuan Islam yang pakar dalam bidang masing-masing, tidak terkecuali jugak isu ini dibangkitkan oleh ahli-ahli politik untuk kepetingan dan tujuan masing2.

Bagi Parti PAS pendirian mereka adalah tegas dalam pelaksanaan hukum hudud iaitu wajib dilaksanakan sebagai penganti undang-undang yang sedia ada yang bukan islamic dan bagi saya ia adalah perlu untuk membangkitkan kesedaran orang islam tentang perjuangan Hukum Allah walaupun tak dapat dilaksanakan lagi. Manakala bagi BN mereka masih lagi dengan pendirian bahawa Malaysia masih belum lagi sesuai untuk dilaksanakan kerana keadaan masih tidak sesuai atau kondusif dan mungkin akan menimbulkan pelbagai keburukan kepada orang awam yang masih belum memahami dengan pelaksanaan hukum hudud tersebut. Namun bagi Parti DAP MCA dan MIC mereka tetap akan menolak pelaksanaan hukum hudud kerana meraka bukan golongan Islam dan masih belum jelas keadilan yang wujud sekiranya ada pelaksanaan Hukum tersebut. Oleh itu, tidak hairan sekiranya golongan kafir menolak pelaksanaan hukum islam. Masalah utama ialah adakah pemerintah sekarang memberi kefahaman kepada orang awam dan golongan bukan islam untuk memahami islam tentang pelaksanaan hukum tersebut supaya mereka dapat lihat akan keadilan hukum islam.

Pada pandangan saya masalah utama ialah sejauhmana pihak pemerintah cuba mewujudkan keadaan kondusif dan memberi pemahaman yang meluas kepada orang Islam dan bukan islam akan keadilan Hukum Hudud. Persoalannya adakah promosi islam secara meluas ini berlaku??? Untuk memberi kefahaman kepada orang awam samada orang islam yang belum betul2 memahami islam dan orang bukan islam yang pasti tak faham islam boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti media elektronik iaitu TV1, TV2, TV3, NTV7, TV8, TV9, ASTRO dan sebgainya….Manakala media cetak ialah surat khabar, majalah dan sebagainya ataupun memberi risalah percuma mengenai Islam. 

Sebaliknya ialah hiburan yang sering di beri dan disuap kepada orang awam yang akan menyesatkan umat islam itu sendiri. Sepatutnya wacana Ilmu seperti debat, wawancara, dan lain-lain yang memberi kefahaman kepada orang awam perlu dilakukan untuk menampakkan kebaikan Islam itu sendiri. Promosi islam perlu dilakukan melalui media utama seperti TV untuk memudahkan penyampaian yang berkesan kerana majoriti orang awam yang menonton TV iaitu 90 % . Pikir-pikirkanlan dan lihatlah dari sudut yang positif….

Kepada orang awam seperti saya dan lain2 yang ingin lebih memahami mengenai pelaksanaan hudud perlulah menuntut ilmu secera mendalam. Untuk mendapat ulasan mengenai  pelaksanaan hukum hudud di Malaysia dari salah seorang pakar agama iaitu Ustaz Dr Asri atau DRMAZA dengan pendirian bahawa keadaan negara Malaysia yang masih belum kondusif.

Selamat Menonton dan Memahami

Manakala Bahan Bacaan dan ulasan DRMAZA:

Kelantan Dan Tanggungjawab Hudud

Hudud Dan Beberapa Gambaran Salah

Ustaz Azhar Idrus – Hudud Bagi Bukan Islam

Ustaz Zaharuddin – Undang – Undang Islam Dan Hukum Hudud

AAM HUDUD; Hukum, Hikmah, Kritikan & Jawapan

Saksikan Juga Forum Hudud Oleh:  Ustaz Ismail Kamus dan Dr. Haron Din

  

September 24, 2011 at 1:36 am 1 comment

Hikmah disebalik Himpunan Bersih 2.0

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca..Seperti yang kita semua ketahui Negara kita Malaysia pada 9 Julai 2011 telah berlaku peristiwa besar di Kuala Lumpur iaitu Demontrasi Bersih 2.0. Demontrasi tetap dilakukan walaupun  dihalang oleh pihak Kerajaan termasuklah dari Pihak Keselamatan iaitu PDRM. Sebelum demontrasi ini dilakukan terdapat pelbagai pihak yang mula bangkit untuk menyatakan sokongan dan bantahan mereka.

Demontrasi ini dilakukan oleh pihak NGO yang disokong kuat oleh pihak parti pembangkang terutamanya PAS, PKR dan DAP untuk menuntut proses pilihan raya yang adil, bersih dan saksama. Tuntutan ini dilakukan adalah kerana didapati bahawa kerajaan sekarang UMNO tidak adil dalam melaksanakan pilihan raya dalam masa yang sama pihak SPRM Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia lebih memihak kepada Kerajaan. Hal ini disokong apabila terdapat pelbagai bukti yang dikatakan SPRM tidak telus dalam melaksanakan tugasnya seperti bukti yang tersebar di internet sebagai contohnya terdapat pengundi hantu, pengundi lebih dari 10 orang dalam satu rumah, rasuah, undi pos yang boleh dimanipulasi oleh pihak kerajaan dan sebagainya.

Hasil daripada perancangan demontrasi bersih tersebut, pelbagai pihak telah muncul untuk memberikan pelbagai pendapat mengenai halal atau haram berdemontrasi. Seperti yang kita tahu pihak kerajaan tidak membenarkan demontrasi tersebut dijalankan namun, bagi pihak bersih mereka menyalahkan kerajaan kerana mereka ada hak untuk berkumpul dan melakukan demontrasi dalam menegakkan keadilan demokrasi. Keadaan ini telah menimbulkan  kesedaran semua pihak mengenai perkara tersebut  seperti Ilmuan Salafi yang lebih taat pada pemimpin yang sedia ada dengan tegas menyatakan bahawa demontrasi itu adalah haram. Bagi pihak Ilmuan dalam Perjuangan Parti PAS mereka sokong demontrasi tersebut bertujuankan menegak keadilan demokrasi pilihanraya.

Walau bagaimanapun terdapat juga Ilmuan yang tidak memihak pada mana-mana pihak kerana mereka adalah golongan akademik yang lebih kepada Neutral. Sebaliknya bagi pihak kerajaan mereka secara jelas menolak dan mengharamkan Demontrasi Bersih 2.0 tersebut untuk menjaga keamanan Negara. Keadaan ini secara tak langsung telah membuatkan para ilmuan Islam kita bangkit memberikan pandangan masing-masing untuk menegakkan kebenaran dalam berhujah.. Pandangan-pandangan ini dapat dilihat dalam internet terutamanya Youtube.

Namun demikian, pandangan-pandangan mereka akan mengelirukan kebanyakan orang awam yang cetek Ilmu agamanya seperti saya kerana ia seolah-olah saling menyalahkan sesama umat Islam antara Ilmuan Salafi, Ilmuan PAS, UMNO dan ahli-ahli akademik yang semuanya adalah beragama ISLAM. Oleh itu, apa yang dapat dilihat dari kesedaran mengenai demontrasi bersih 2.0 ini, eloklah para-para ilmuan semua berkumpul untuk membentuk kata sepakat yang jelas demi menjaga perkembangan Islam di Malaysia yang tercinta.

Tidakkah ini merupakan satu hikmah yang berlaku akibat wujudnya bantahan dan sokongan pada Demontrasi Bersih 2.0 tersebut. Sebaik-baiknya semua para Ilmuan berkumpul untuk menyelesaikan masalah yang timbul demi kepentingan umat Islam itu sendiri yang sedang berkembang di Malaysia. Oleh itu, saya berharap pihak-pihak yang merasakan dirinya cukup Ilmu dan hujah dalam menyatakan sebarang pendapat wajar bangun dan tampil kehadapan untuk berbincang dan menyelasaikan masalah Ummah ini…Mudah-mudahan para Ilmuan semua terfikir untuk berkumpul bersama bukannya saling menyalahkan antara satu sama lain kerana berbeza pendapat.

Sekian Wasalam, sama-samalah kita berdoa….

July 10, 2011 at 5:02 pm Leave a comment

Isu Kenyataan Lee Kuan Yew : Utusan Malaysia Akhbar Minda Kelas Ketiga

Untuk kesekian kalinya, Utusan Malaysia berjaya membuktikan dirinya sebagi akhbar minda kelas ketiga. Barangkali dikekang oleh statusnya sebagai akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia terpaksa bertindak di luar batas etika kewartawanan. Semalam 27 Januari 2011, muka depannya memaparkan satu fitnah yang maha besar terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Di bawah tajuk besar, “Kuan Yew Takut Jiran”, Utusan memetik kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura itu yang mencadangkan agar umat Islam mengurangkan pegangan terhadap Islam.  Apa yang menjadikan laporan itu hebat ialah ayat ringkas Nik Aziz pertahan Kuan Yew dan juga ruangan Senyum Kambingnya yang mengembek dengan dialog, Apa nak buat, dia Tok Guru celaru.

Nampaknya Utusan Malaysia berusaha bersungguh-sungguh untuk memutarkan fakta yang barangkali sukar untuk dipercayai hatta oleh ahli-ahli UMNO sekalipun. Munasabahkah pada pemikiran seorang yang waras, seorang Menteri Besar yang dikenali sebagai orang yang paling kuat berusaha memahamkan rakyat tentang nilai Islam, menjadi orang yang menyokong supaya nilai Islam dikurangkan? Logikkah seorang yang saban minggunya berkuliah menghuraikan tafsiran al-Quran tiba-tiba cenderung agar nilai Islam dikurangkan? Untuk mempercayai premis inipun sudah sukar, lainlah jika pemimpin yang dikenali sebagai tahi judi, kaki rasuah atau sekurang-kurangnya gagal membimbing ahli keluarganya patuh pada agama berkata demikian.

Saya tidak berada di dalam sidang media tersebut yang didakwa dibuat selepas Mesyuarat Exco Kelantan pada 26 Januari 2011. Bagaimanapun, hasil bantuan rakan-rakan wartwan yang lain, rakaman membuktikan bahawa apa yang disebut oleh Nik Aziz ialah,”Tidak pelik jika Lee Kuan Yew menolak Islam, kerana dia bukan Islam. Apa yang pelik ialah orang Melayu yang tolak Islam dan mengambil fahaman nasionalis..” Itu saja. Barangkali tahap penguasaan bahasa Melayu yang rendah di kalangan wartawan Utusan Malaysia menyebabkan mereka gagal memahami premis semudah ini. Mungkin wartawannya lebih baik membuat liputan berkenaan isu-isu kebersihan sahaja kerana ia barangkali lebih mudah dan tidak memerlukan daya penguasaan bahasa yang mantap. Laporan kawan media saya, saudara Yulpisman di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini 28 Januari 2011 boleh dirujuk.

Mudah sahaja mahu memahami hasrat hati media sebegini, mereka mahu Nik Aziz menari seirama dengan mereka. Apabila Lee Kuan Yew dilaporkan mengucapkan kata-kata demikian, mereka mahu Nik Aziz bangkit menentang seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang akan bangun menentang. Barangkali akan adanya kata-kata Jangan jolok sarang tebuan, jangan main api dan sebagainya sebagaimana budaya geng-geng songkok yang tinggi. Jika NIk Aziz seirama dengan mereka, dilihat seolah-olah masyarakat Islam di Malaysia bersatu di bawah kepimpinan UMNO menghadapi apa yang disebut sebagai ancaman luar. Sayangnya, Nik Aziz tidak begitu. Mereka pula dibidas lebih dahsyat daripada Lee Kuan Yew sendiri!

Sewajarnya Utusan Malaysia sebagai akhbar yang ‘paling prihatin’ terhadap nilai-nilai Islam ini melihat kepada kenyataan yang lebih merbahaya yang dikeluarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang terkenal dengan aksinya satu ketika dahulu. Jika Utusan Malaysia terlepas pandang, sukalah saya memaklumkan bahawa orang itu telah berkata di dalam isu bersalaman bukan mahram, “So what is so great about that? That is your religious value which I don’t know. How am I to know about the… religious values when I’m not practising that religion? I have the right to say that it’s basic manners to shake hands with people. That’s my values. Understand? You also must value my value, which is good manners, which includes shaking hands,”

Barangkali, kanta Utusan Malaysia terlampau besar sehingga terlihat ‘kuman’ di seberang sehingga terlupa ‘gajah’ di Johor.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

28 Januari 2011.

-penulis ialah Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan.

January 28, 2011 at 1:30 pm Leave a comment

Jadilah Dirimu Sayang…

—–kisah ini diadaptasikan dari buku yg sangat popular, yang mendamaikan jiwa.. La Tahzan—-

Saya pernah mendengar seseorang menyampaikan sebuah syair yang terkenal. Sungguh mengasyikkan. Saya sendiri hafal puisi tersebut dan cara menyampaikannya. Kemudian, saya mencuba menggubah puisi dan menyampaikannya di acara keilmuan di sekolah. Saya cuba menjelma menjadi diri penyair yang saya kagumi itu namun penyampaian saya terasa serba tidak kena,membosankan dan tidak keluar dari perasaan. Selepas itu, saya tinggalkan sama sekali taklid, dan menyampaikan puisi sesuai dengan jiwa saya.

Dari situ saya meyedari bahawa Yang Maha Mencipta sudah mewujudkan kemampuan, potensi dan sifat yang tersendiri bagi setiap hambaNya, yang berbeza setiap satunya.

“Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti masing-masing) ”                                                                         (Surah Al-Maidah : 48)

Dengan demikian, sepatutnya dapatlah difahami bahawa jika ingin melaukan dan menanamkan pengaruh kepada orang lain, maka anda tidak boleh beranjak dari menjadi diri anda sendiri.

” Katakanlah( wahai Muhammad) :Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri”

(Surah Al-Isra’ : 84)

Oleh itu, dapatlah disimpulkan janganlah anda meniru gaya orang lain, sebaliknya, jadilah diri anda sendiri. Daya tarik, warna, dan ciri khas anda itu ada dalam keunikan anda untuk membaharui dan menanamkan pengaruh dalam diri orang lain.  Setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing. Percayalah pada diri anda. Jangan mudah mengalah .

Kepada sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian, jadilah diri anda sendiri. Kita adalah diri kita, dan percayalah pada bakat dan kemahiran yang kita miliki untuk terus berjuang dalam kehidupan ini….

bersama-samalah kita meningkatkan iman kita dalam usaha untuk berjaya dalam semua pekerjaan. Mencuba menjadi orang lain akan memberikan tekanan kepada diri kita.  Elakkan sikap sedemikian, jadilah dirimu sayang…….

jagalah hatimu...

July 22, 2009 at 12:25 pm 1 comment

Older Posts


Contact Me

Chat with me

Masukkan Email anda untuk mendapatkan maklumat terkini dari blog zakizakirin

Join 35 other followers

Rahsia Membina Mesin WANG PERCUMA

Photobucket

Sedekah Tanpa Wang

Photobucket

AL-Qur’an Miracle 22 In 1

Kalendar

December 2017
M T W T F S S
« Nov    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Download Percuma

Please Save Our World

Iklan

Bank Pilihanku

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Pautan Kerajaan

Categories

Yang Paling Digemari

Jumlah Pelawat

Blog Stats

  • 373,409 hits

Pengintip Harian

Flag Counter

Follow My Twitter