Archive for January, 2011

Tabung Haji Bonus 5.5%

KOMPETITIF…Abi Musa (kanan) dan Ismee menunjukkan angka bonus pendeposit TH 2010, semalam.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan pembayaran bonus pendeposit selepas zakat sebanyak 5.5 peratus membabitkan pembayaran sebanyak RM1.33 bilion bagi tahun lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor berkata, jumlah bayaran itu melonjak 24 peratus berbanding RM1.07 bilion pada 2009.
Katanya, sungguhpun profil pelaburan TH hanya terhad kepada pelaburan berlandaskan syariah, kadar deposit yang diberikan boleh disifatkan sangat kompetitif.

“Tahun lalu, TH membuat pembayaran bonus selepas pengiraan zakat sebanyak lima peratus bagi keuntungan 2009 dan untuk 2010, TH menambah bayaran bonus sebanyak 0.5 peratus lagi.
“Jika dibandingkan kadar pulangan daripada akaun deposit tetap perbankan Islam, TH masih menawarkan pulangan lebih menarik,” katanya ketika mengumumkan bonus pendeposit TH 2010 di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail.

Mengulas lanjut, Abi Musa berkata, TH meneruskan kecemerlangan prestasi kewangan sangat membanggakan pada 2010 apabila mencatat keuntungan selepas zakat melebihi RM1 bilion bagi empat tahun berturut-turut.
“TH sekali lagi mencatat sejarah apabila meraih pendapatan melebihi RM2 bilion tahun lalu, meningkat sebanyak 17 peratus atau RM305 juta yang dicatat pada 2009.

“Pendapatan TH sejak 2006 berkembang sejajar dengan pertumbuhan saiz dana pendeposit,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan pendapatan itu sebahagian besarnya disumbangkan sumber utama membabitkan pelaburan ekuiti yang menyumbang sebanyak 65 peratus.
“Sebanyak 19 peratus adalah pendapatan dividen dan 46 peratus keuntungan urusniaga saham. Penyumbang kedua terbesar diperoleh hasil pelaburan sekuriti hutang terutama bon Islam sebanyak 10 peratus,” katanya.

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my

Sabtu, 29 Januari 2011

January 29, 2011 at 5:52 am Leave a comment

Isu Kenyataan Lee Kuan Yew : Utusan Malaysia Akhbar Minda Kelas Ketiga

Untuk kesekian kalinya, Utusan Malaysia berjaya membuktikan dirinya sebagi akhbar minda kelas ketiga. Barangkali dikekang oleh statusnya sebagai akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia terpaksa bertindak di luar batas etika kewartawanan. Semalam 27 Januari 2011, muka depannya memaparkan satu fitnah yang maha besar terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Di bawah tajuk besar, “Kuan Yew Takut Jiran”, Utusan memetik kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura itu yang mencadangkan agar umat Islam mengurangkan pegangan terhadap Islam.  Apa yang menjadikan laporan itu hebat ialah ayat ringkas Nik Aziz pertahan Kuan Yew dan juga ruangan Senyum Kambingnya yang mengembek dengan dialog, Apa nak buat, dia Tok Guru celaru.

Nampaknya Utusan Malaysia berusaha bersungguh-sungguh untuk memutarkan fakta yang barangkali sukar untuk dipercayai hatta oleh ahli-ahli UMNO sekalipun. Munasabahkah pada pemikiran seorang yang waras, seorang Menteri Besar yang dikenali sebagai orang yang paling kuat berusaha memahamkan rakyat tentang nilai Islam, menjadi orang yang menyokong supaya nilai Islam dikurangkan? Logikkah seorang yang saban minggunya berkuliah menghuraikan tafsiran al-Quran tiba-tiba cenderung agar nilai Islam dikurangkan? Untuk mempercayai premis inipun sudah sukar, lainlah jika pemimpin yang dikenali sebagai tahi judi, kaki rasuah atau sekurang-kurangnya gagal membimbing ahli keluarganya patuh pada agama berkata demikian.

Saya tidak berada di dalam sidang media tersebut yang didakwa dibuat selepas Mesyuarat Exco Kelantan pada 26 Januari 2011. Bagaimanapun, hasil bantuan rakan-rakan wartwan yang lain, rakaman membuktikan bahawa apa yang disebut oleh Nik Aziz ialah,”Tidak pelik jika Lee Kuan Yew menolak Islam, kerana dia bukan Islam. Apa yang pelik ialah orang Melayu yang tolak Islam dan mengambil fahaman nasionalis..” Itu saja. Barangkali tahap penguasaan bahasa Melayu yang rendah di kalangan wartawan Utusan Malaysia menyebabkan mereka gagal memahami premis semudah ini. Mungkin wartawannya lebih baik membuat liputan berkenaan isu-isu kebersihan sahaja kerana ia barangkali lebih mudah dan tidak memerlukan daya penguasaan bahasa yang mantap. Laporan kawan media saya, saudara Yulpisman di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini 28 Januari 2011 boleh dirujuk.

Mudah sahaja mahu memahami hasrat hati media sebegini, mereka mahu Nik Aziz menari seirama dengan mereka. Apabila Lee Kuan Yew dilaporkan mengucapkan kata-kata demikian, mereka mahu Nik Aziz bangkit menentang seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang akan bangun menentang. Barangkali akan adanya kata-kata Jangan jolok sarang tebuan, jangan main api dan sebagainya sebagaimana budaya geng-geng songkok yang tinggi. Jika NIk Aziz seirama dengan mereka, dilihat seolah-olah masyarakat Islam di Malaysia bersatu di bawah kepimpinan UMNO menghadapi apa yang disebut sebagai ancaman luar. Sayangnya, Nik Aziz tidak begitu. Mereka pula dibidas lebih dahsyat daripada Lee Kuan Yew sendiri!

Sewajarnya Utusan Malaysia sebagai akhbar yang ‘paling prihatin’ terhadap nilai-nilai Islam ini melihat kepada kenyataan yang lebih merbahaya yang dikeluarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang terkenal dengan aksinya satu ketika dahulu. Jika Utusan Malaysia terlepas pandang, sukalah saya memaklumkan bahawa orang itu telah berkata di dalam isu bersalaman bukan mahram, “So what is so great about that? That is your religious value which I don’t know. How am I to know about the… religious values when I’m not practising that religion? I have the right to say that it’s basic manners to shake hands with people. That’s my values. Understand? You also must value my value, which is good manners, which includes shaking hands,”

Barangkali, kanta Utusan Malaysia terlampau besar sehingga terlihat ‘kuman’ di seberang sehingga terlupa ‘gajah’ di Johor.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

28 Januari 2011.

-penulis ialah Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan.

January 28, 2011 at 1:30 pm Leave a comment

Perlukah Penganut Agama Islam Mengikut Cakap Kuan Yew???….

Kuan Yew gesa penduduk Islam kurang patuh pada agama

Buku Yang DijualSEJUMLAH naskhah buku Hard Truths to Keep Singapore Going yang merupakan memoir Lee Kuan Yew dipamerkan di sebuah kedai buku di Tanjong Pagar, Singapura kelmarin.

 

SINGAPURA – Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew menggesa masyarakat Islam di negara itu supaya menjadi kurang tegas dalam hal pematuhan ajaran agama demi meningkatkan integrasi dan proses pembangunan negara bangsa.

Singapura didominasi oleh penduduk etnik Cina manakala kaum minoritinya dibentuk oleh kelompok Melayu beragama Islam dan orang India.

Kuan Yew sering menekankan mengenai pentingnya keharmonian kaum.

“Saya ingin menyatakan pada hari ini, kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam,” kata Kuan Yew dalam bukunya yang bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.

Buku tersebut mengandungi pandangan-pandangan jujurnya mengenai Singapura dan masa depannya.

“Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya.

“Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah,” kata Kuan Yew yang menggesa komuniti Islam untuk menjadi kurang tegas dalam mematuhi Islam.

Sewaktu pelancaran buku tersebut pada Jumaat lalu, beliau yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pragmatik memberi amaran kepada rakyat Singapura tentang perasaan puas hati mereka.

Kuan Yew turut menyatakan republik yang majoritinya terdiri daripada etnik Cina itu masih dalam proses membangunkan sebuah negara bangsa.

Di dalam bukunya, beliau menyifatkan Singapura sebagai sebuah bangunan 80 tingkat yang dibina di atas tanah berpaya.

Kuan Yew menegaskan bahawa Singapura mesti berdepan dengan perasaan bermusuhan daripada jiran-jiran beragama Islam yang lebih ramai.

“Kita mempunyai jiran-jiran yang peramah? Sedarlah… Inilah yang melemahkan kita kerana kita merupakan orang yang gemar mencampuri urusan orang lain,” katanya yang mendakwa usaha Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan Singapura.

Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 ekoran perbezaan besar terhadap dasar Kuala Lumpur yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu. Sejak itu, Singapura telah mewujudkan pasukan tentera paling moden di Asia Tenggara untuk menangani ancaman negara asing.

Bercakap tentang politik tempatan, Kuan Yew menyatakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah sejak tahun 1959 apabila Singapura memperoleh autonomi politik daripada pemerintah kolonial Britain akan kehilangan kuasanya pada satu hari nanti.

“Akan tiba satu masa apabila orang ramai berkata, mari cuba pihak yang satu lagi. Sama ada kerana kualiti PAP telah menurun atau pihak pembangkang sudah menghasilkan satu pasukan yang setanding dengan PAP. Hari itu akan tiba. Bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, saya tidak fikir ia akan berlaku. Menjangkau tempoh itu, saya tidak tahu,” katanya.

Kuan Yew menyatakan walaupun satu kaji selidik menunjukkan sebaliknya, beliau percaya rakyat Singapura masih belum bersedia menerima seorang perdana menteri yang bukan daripada etnik Cina.

“Satu undian menyatakan 90 peratus masyarakat Cina Singapura menyatakan mereka akan melantik seorang bukan Cina sebagai PM. Baiklah, ini adalah ideal. Anda percaya undian-undian ini? Betul-betul sampah. Mereka bercakap apa yang secara politiknya betul,” tegasnya.

Kuan Yew juga mempertahankan dasar mempromosikan perkahwinan sesama rakyat Singapura yang berpendidikan tinggi.

Dasar itu dilihat oleh para pengkritik sebagai satu proses kejuruteraan sosial dan menafikan tanggapan mengenai cinta pandang pertama.

“Rakyat mendapat pendidikan. Golongan yang cerdik akan naik statusnya dan mengahwini pasangan yang sama-sama menerima pendidikan yang bagus. Hasilnya, anak mereka pasti lebih pandai berbanding anak-anak tukang kebun.

“Ini adalah hakikat kehidupan. Anda mempunyai seekor kuda betina yang bagus, anda tidak mahu membuat kacukkan antara ia dengan seekor kuda biasa. Anda akan mendapat anak kuda yang kurang bagus. Manusia yang tertarik kepada karakteristik fizikal akan menyesal mengenainya,” katanya lagi.

Kuan Yew mendedahkan beliau telah mendermakan semua pendapatannya berjumlah AS$10 juta (RM30.6 juta) kepada kebajikan sejak mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada tahun 1990 selepas 31 tahun berkuasa.

Menteri-menteri kabinet Singapura mendapat bayaran gaji tertinggi di dunia sebagai sebahagian daripada strategi mencegah rasuah dan menarik bakat dari sektor swasta.

Kuan Yew yang memegang jawatan khas, Mentor Perdana Menteri kini bertindak selaku penasihat kepada Perdana Menteri Singapura yang juga merupakan anak lelakinya, Lee Hsien Loong yang mula memerintah sejak tahun 2004.Di sebalik kata-katanya yang tegas, Kuan Yew menunjukkan ciri-ciri kelembutannya apabila ditanya tentang mendiang isterinya, Kwa Geok Choo yang meninggal dunia pada usia 89 tahun, Oktober lalu.

“Ia membawa makna lebih keseorangan,” kata Kuan Yew dalam buku tersebut yang mengandungi siri temu ramah eksklusif dengan wartawan-wartawan akhbar Straits Times. – AFP

Sumber Kosmo…24 January 2011

January 24, 2011 at 6:38 am 4 comments

AHB Amanah Hartanah Bumiputera

AHB beri peluang Bumiputera nikmati kekayaan negara – PM
29/11/2010 4:37pm

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Skim pelaburan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang dilancarkan hari ini memberi peluang kepada golongan Bumiputera untuk turut sama merasai kekayaan negara dan berjaya dalam lapangan ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelancaran skim ini merupakan hasrat kerajaan untuk membawa perubahan besar kepada ekonomi negara agar kekayaannya tidak tertumpu kepada golongan atasan semata-mata.

“Kita tidak ingin melihat jurang antara mereka yang berpendapatan tinggi dan rendah semakin melebar, melalui usaha seperti ini maka kita dapat membantu untuk mengurangkan jurang ini.

“Ia juga dapat memberikan satu lagi instrumen di mana kekayaan negara kita ini boleh dimiliki oleh seberapa ramai rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap melancarkan AHB di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) Kamalul Arifin Othman.

Najib berkata, kerajaan berpegang kepada prinsip bahawa kekayaan negara haruslah diagihkan secara adil dan saksama kerana sekiranya sebahagian besar rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan Bumiputera tidak dapat merasai kekayaan negara secara adil maka keadaan ini telah menafikan hak mereka.

“Ini juga tidak menyumbang kepada kestabilan politik negara kita pada jangka panjang. Kita tidak mahu menafikan hak golongan Bumiputera untuk terus melabur dan mencapai keinginan mereka berjaya dalam perniagaan dan lapangan ekonomi.

“Tentu sekali kalau golongan Bumiputera lalu-lalang di tengah kota raya dan kalau mereka mendongak ke atas dan melihat bangunan pencakar langit dan bangunan komersil dan mereka merasakan bahawa bangunan yang tinggi nilainya itu tidak dimiliki oleh mereka, maka sudah tentu ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan kurang senang di kalangan golongan Bumiputera,” katanya.

Najib yang juga Pengerusi Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera berkata, langkah memperkenalkan skim ini dibuat bukan sahaja untuk meluaskan penyertaan pemilikan Bumiputera dalam aset-aset komersil bernilai tinggi, tetapi juga untuk mencari satu kaedah agar pemilikan itu terus berkekalan.

“Kerajaan akan terus bantu supaya pelaburan Bumiputera dapat terus mencari peluang pemilikan hartanah yang strategik dan bernilai tinggi supaya hasrat kita untuk memperlihatkan sebuah negara yang lebih seimbang dari segi pembahagian kekayaan akan tercapai,” katanya.

Skim AHB telah diumumkan oleh Najib yang juga Menteri Kewangan ketika pembentangan Bajet 2011 baru-baru ini bagi memberi peluang kepada golongan Bumiputera mempertingkatkan lagi pegangan mereka dalam hartanah-hartanah komersil di lokasi strategik dalam negara.

AHB yang bersaiz RM1 bilion adalah terbuka kepada pelabur-pelabur Bumiputera yang berumur dari tiga bulan ke atas, dengan syarat pelabur yang berumur bawah 18 tahun perlu seorang penandatangan penjaga sah rakyat Malaysia.

Unit-unit akan diniagakan pada harga tetap RM1 seunit.

Pelabur Bumiputera boleh menyertai pemilikan benefisial aset hartanah dengan pelaburan minimum sebanyak RM500. – Bernama

Untuk Maklumat Lanjut Layari : http://www.phb.com.my/bm/

January 4, 2011 at 11:41 pm 3 comments


Contact Me

Chat with me

Masukkan Email anda untuk mendapatkan maklumat terkini dari blog zakizakirin

Join 35 other followers

Rahsia Membina Mesin WANG PERCUMA

Photobucket

Sedekah Tanpa Wang

Photobucket

AL-Qur’an Miracle 22 In 1

Kalendar

January 2011
M T W T F S S
« Dec   Feb »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Download Percuma

Please Save Our World

Iklan

Bank Pilihanku

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Pautan Kerajaan

Categories

Yang Paling Digemari

Jumlah Pelawat

Blog Stats

  • 352,281 hits

Pengintip Harian

Flag Counter

Follow My Twitter